Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Empat kluster baharu dikenal pasti hari ini yang dilaporkan di Selangor, Sabah, Putrajaya dan Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi Kluster Jalan Meru dilaporkan di Klang, Selangor membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang bergejala sejak 24 September lalu.

"Saringan Covid-19 dikesan positif pada 29 September lalu dan dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif membabitkan warganegara direkodkan bagi kluster ini.

"Mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Kontak rapat sedang dikenal pasti dan saringan sedang dirancang oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terbabit," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster baharu yang dikenal pasti adalah Kluster Joo Hwa dilaporkan di Tawau, Sabah dengan kes indeks membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

"Lelaki terbabit mula bergejala demam dan batuk sejak 14 September lalu sebelum saringan dilakukan didapati positif pada 20 September lalu.

"Saringan kontak rapat dijalankan dengan empat lagi kes positif dikenal pasti, semuanya membabitkan warganegara dan mereka dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 126 individu disaring dengan lima dikesan positif, manakala 11 individu negatif dan 110 individu masih menunggu keputusan," katanya yang turut memaklumkan punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, satu lagi kluster dikenal pasti di Putrajaya iaitu Kluster Selasih dengan kes indeks membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Melangkap dan Kundasang, Sabah pada 13 hingga 20 September dan 24 hingga 27 September lalu.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

"Individu itu mula bergejala demam dan batuk sejak 25 September lalu dan lelaki berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 September lalu sebelum saringan dilakukan didapati positif pada 28 September lalu.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dengan enam lagi kes positif Covid-19 membabitkan warganegara bagi kluster berkenaan dikenal pasti dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 28 individu disaring dengan tujuh daripadanya dikesan positif, manakala lapan lagi negatif dan 13 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, satu kluster baharu iaitu Kluster Bah Ketil dikenal pasti di Baling dan Langkawi, Kedah dengan kes indeks membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau, Sabah pada 17 hingga 21 September lalu.

"Lelaki itu bergejala batuk dan sakit otot bermula pada 24 September lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Sungai Petani, Kedah sebelum saringan dilakukan didapati positif pada 28 September lalu.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dengan lapan lagi kes positif bagi kluster ini dikenal pasti.

"Tiga kes positif kluster ini membabitkan warganegara yang sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Langkawi, Kedah untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 252 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif, manakala 203 dikesan negatif dan 40 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:07 PM