Anggota penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Sungai Petani memeriksa bungkusan kuetiau selepas disyaki menggunakan logo 'Buatan Malaysia' palsu dalam operasi di Taman Sejati semalam. FOTO/IHSAN KPDNHEP
Anggota penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Sungai Petani memeriksa bungkusan kuetiau selepas disyaki menggunakan logo 'Buatan Malaysia' palsu dalam operasi di Taman Sejati semalam. FOTO/IHSAN KPDNHEP
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang pengurus premis membuat kuetiau selepas disyaki menggunakan logo 'Buatan Malaysia' palsu di Taman Sejati, di sini, semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sungai Petani, Mazlan Safar berkata, operasi pada 4 petang itu turut merampas tiga gulung plastik bungkusan kuetiau dan 90 bungkus koey teow mentah yang sudah dicetak logo 'Buatan Malaysia' bernilai RM453.

Katanya, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat awam berhubung penggunaan logo 'Buatan Malaysia' disyaki menggunakan representasi palsu.

"Siasatan awal mendapati premis terbabit sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu, dan pengurus berusia 50 tahun itu ditahan untuk diambil keterangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Jika sabit kesalahan, syarikat terbabit boleh didenda maksimum RM500,000 manakala RM250,000 bagi kesalahan ke atas individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"KPDNHEP memandang serius perkara ini dan memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar mematuhi undang-undang dalam menjalankan perniagaan," katanya.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada KPDNHEP menerusi hotline 1-800-886-800 atau 04-4205108 atau http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 4:38 PM