GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang juruterbang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen, selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun serta denda RM300,000 atau penjara setahun.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membebaskan Kapten Bir Singh, 61, selepas membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 28 Ogos 2019.

Azhar membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujahan peguam Afifuddin Ahmad Hafifi, Datuk Salehuddin Saidin dan Siti Sarah Khalil yang mewakili Bir Singh selaku perayu.

Dalam hujahannya, Afifuddin antara lain berkata pihak pendakwaan gagal menunjukkan elemen faedah dikenakan dan pinjaman itu turut diragui jumlahnya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi pula berhujah pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap juruterbang itu melalui keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan pinjaman diberikan oleh tertuduh kepada pengadu (Peter Paul).

Bir Singh didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen iaitu dengan memberi pinjaman wang berjumlah RM600,000 kepada Peter Paul, 63, di RHB Bank Taman Tun Dr Ismail, di sini, antara 31 Oktober 2011 hingga 24 April 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 3:17 PM