Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster baharu Covid-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama yang dikenal pasti iaitu Kluster Bah Layangan yang dilaporkan di Labuan dan Rembau, Negeri Sembilan.

"Kes indeks kluster ini yang mempunyai sejarah perjalanan ke daerah berisiko negeri dikenal pasti melalui hasil saringan individu bergejala pada 10 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Labuan.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 12 lagi kes positif. Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 142 individu disaring dengan 13 kes positif, 67 individu negatif dan 62 individu masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Alma yang dilaporkan di Seberang Perai Selatan dan Seberang Tengah, Pulau Pinang.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-18,066 didapati positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati enam lagi kes positif. Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 183 individu disaring dengan tujuh kes dikesan positif, 43 individu negatif dan 133 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, Kluster Auto yang dikenalpasti di Petaling, Kuala Langat, dan Klang, Selangor dengan kes indeks dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti lapan lagi kes positif. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak sembilan kes dikesan positif dan punca jangkitan bagi kluster ini masih dalam siasatan.

"Kluster keempat iaitu Kluster Penjara Kepayan pula dilaporkan di Kota Kinabalu, Sabah dengan kes indeks bagi kluster ini adalah hasil saringan kemasukan ke Hospital Queen Elizabeth pada 14 Oktober lalu.

" Saringan kontak rapat dilakukan mendapati 48 lagi kes positif bagi kluster ini. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 170 individu disaring dengan 49 kes dikesan positif, 121 individu negatif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:48 PM