GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Rembau: Penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku salah memukul adik kandungnya.

Tertuduh, Firdaus Mohamad Khalil, 36, dari Kota, dekat sini, mengaku melakukan perbuatan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas adik kandungnya Syahidah Mohamad Khalil, 33, dengan cara menumbuk bahagian belakang kepala menggunakan tangan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada jam 6.30 petang, 23 Mac lalu di sebuah rumah di Kota.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menumbuk bahagian belakang kepala adiknya itu sebanyak dua kali di ruang dapur disebabkan benci berikutan sudah tiga tahun adiknya tidak bercakap dengannya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 12:01 PM