TERTUDUH kes menipu membina badan lori tidak wujud dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau bagi pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
TERTUDUH kes menipu membina badan lori tidak wujud dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau bagi pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Akibat menipu dalam perniagaan tidak wujud, seorang jurukimpal dijatuhi hukuman denda RM4,900 oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas Chong Kok Song, 44, dari Shah Alam, Selangor selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 12.25 tengah hari 17 Ogos lalu di Kampung Serampang Indah, Jempol didapati dengan sengaja memperdaya dan mendorong seorang lelaki memasukkan wang RM10,000 ke dalam akaun bank didaftar atas nama Loh Kai Jian.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menawarkan perkhidmatan bagi membina badan lori tiga tan kepada lelaki berkenaan sebelum lelaki itu bersetuju memasukkan RM10,000 ke dalam akaun bank diberikan.

Tertuduh berjanji akan datang pada 20 Ogos bagi membina badan lori berkenaan, namun gagal berbuat demikian sehingga lelaki itu berasa tertipu dan membuat laporan polis.

Berikutan itu, tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 4:36 PM