DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. FOTO arkib NSTP
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. FOTO arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sesebuah kerajaan tidak akan tumbang dengan hanya membuat pengisytiharan, sebaliknya ada kaedah dan proses tertentu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya hanya perlu menunggu dan melihat perkembangan selanjutnya selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dan akan menubuhkan kerajaan baharu.

Beliau berkata, kerana kemungkinan besar ia hanya tinggal impian seperti beberapa insiden sebelum ini.

"Kerajaan ini (Perikatan Nasional) tak akan tumbang dengan hanya buat pengisytiharan. Ada kaedahnya, bukan hanya isytihar terus tumbang, kita tunggu dan tengok macam mana.

"Dulu waktu nak lantik (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sebagai Perdana Menteri pun, dia (Anwar) beritahu dah cukup bilangan, naik bas ramai-ramai ke Istana Negara tapi yang berlaku tiada hasil.

"Yang ini pun kita tunggu dan lihat sebab takut jadi macam tu dan kalau betul-betul sudah cukup (bilangan dua pertiga Ahli Parlimen), dia kena menghadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) untuk menjelaskan perkara ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan di sini, hari ini.

Dalam sidang media khasnya hari ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk menubuhkan kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menganggap sokongan kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebaik baginda keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).

Mohd Amar berkata, isu pembubaran Parlimen terserah kepada Perdana Menteri dan kebiasaannya jika wujud mengenai isu undi tidak percaya, perkara itu akan dibawa ke Dewan Rakyat.

"Perdana Menteri ada dua pilihan, kalau betul-betul dia sudah kehilangan sokongan Ahli Parlimen, dia perlu meletakkan jawatan atau dia menghadap YDPA dan dinasihatkan supaya bubarkan balik, itu senarionya.

"Petang ini, Perdana Menteri akan bercakap, mungkin dia akan respon kepada isu ini," katanya.

Berita berkaitan:

  • Saya masih Perdana Menteri: Muhyiddin
  • Agong titah semua pihak utamakan kesejahteraan rakyat
  • Anwar bersandiwara untuk meraih sokongan rakyat Sabah: Rosol
  • Anwar rakus, gila kuasa
  • GPS berdiri teguh di belakang Muhyiddin
  • DAP sokong Anwar
  • PM tenang saja
  • Amanah sokong Anwar
  • 'Saya dapat sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen' - Anwar
  • Anwar umum dapat sokongan kukuh bentuk kerajaan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 2:59 PM