ROSOL WAHID
ROSOL WAHID
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap bersandiwara untuk meraih sokongan rakyat Sabah supaya menyokong Parti Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini, apabila mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, kedudukan Parti Warisan diterajui Datuk Seri Shafie Apdal untuk terus menerajui Sabah pada PRN nanti dalam keadaan tidak stabil selepas rakyat negeri itu mula berpaling tadah menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, disebabkan Warisan yang juga parti sekutu Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan terdesak, Anwar secara tergesa-gesa mengumumkan partinya memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

"Kenyataan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson termasuk mengakui dia bakal Perdana Menteri kesembilan dan PH memiliki majoriti kerusi sudah kerap kali dicanangkan, tetapi sehingga kini belum menjadi kenyataan.

"Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin baru tujuh bulan dilantik sebagai Perdana Menteri, seluruh rakyat berada dalam keadaan selesa berbanding ketika PH menerajui pemerintahan negara selama 22 bulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anwar pada sidang medianya dilaporkan mendakwa beliau sudah mendapat majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus menyaksikan PN tumbang.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kepemimpinan Muhyiddin yang berjaya menyelesaikan pelbagai tuntutan rakyat terutama menangani penularan Covid-19, amat dicemburui pemimpin parti pembangkang termasuk Anwar.

Beliau berkata, kenyataan Anwar hanya untuk mengambil hati pemimpin parti itu selepas beberapa kali impiannya untuk menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian.

Berita berkaitan:

  • Saya masih Perdana Menteri: Muhyiddin
  • Agong titah semua pihak utamakan kesejahteraan rakyat
  • Anwar rakus, gila kuasa
  • GPS berdiri teguh di belakang Muhyiddin
  • DAP sokong Anwar
  • PM tenang saja
  • 'Kerajaan tidak tumbang dengan hanya isytihar sahaja'
  • Amanah sokong Anwar
  • 'Saya dapat sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen' - Anwar
  • Anwar umum dapat sokongan kukuh bentuk kerajaan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 5:02 PM