DATUK Seri Dr Zukifli Mohamad Al-Bakri (tengah) ketika sidang media Majlis Perasmian Multaqa Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Hotel Sama-Sama, Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Dr Zukifli Mohamad Al-Bakri (tengah) ketika sidang media Majlis Perasmian Multaqa Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Hotel Sama-Sama, Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


Sepang: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri bagi menangani isu ajaran sesat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau bersetuju dengan cadangan supaya ada kerjasama sedemikian berikutan bidang kuasa agama yang berbeza mengikut negeri.

Ia bagi membolehkan penularan dan perkembangan ajaran sesat seperti Rasul Melayu dapat ditangani dengan secara komprehensif.

"InsyaAllah saya bersetuju... kita akan laksanakan dan saya akan ambil satu peringatan dalam isu ini bersama Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)dan lain-lain (jabatan agama negeri)," katanya pada sidang media selepas perasmian Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia, di sini, hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan program itu pagi tadi.

Zulkifli berkata, beliau melihat isu penularan ajaran sesat di negara ini amat terkawal namun ada keperluan menyedarkan mereka yang dengan sengaja memilih cara tidak tepat dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Mengulas mengenai 'Rasul Melayu' yang aktif semula dengan penahanan Abdul Kahar Ahmad pada Ahad lalu, Zulkifli berkata, ia adalah cerita lama.

Beliau berkata, dalam satu lawatannya ke Penjara Kajang sebelum ini, beliau menemui Abdul Kahar yang kemudian membuat pengakuan bahawa dia sudah bertaubat.

"Jadi kita, bila orang menyatakan sudah bertaubat maka kita terima.

Sementelah sampai di Selangor dia sendiri buat istitabah (pengakuan untuk bertaubat) dia.

"Kalau macam itu, selepas daripada ini memang kita akan ambil pemerhatian khusus dan mungkin kita akan tengok setakat yang kita mampu (lakukan).

"Tetapi itu terkait kepada negeri Selangor. Kita akan cuba dapatkan sejumlah maklumat bagaimana proses selepas daripada ini," katanya.

Pada masa sama, Zulkifli berkata, pihaknya berkemungkinan melihat untuk menyediakan makalah khusus mengenai ajaran sesat bagi diedarkan kepada imam dan guru tahmid yang dilantik pihak berkuasa agama.

Semalam, media melaporkan 'Rasul Melayu' yang kembali aktif menyebarkan ajaran yang difatwakan diharamkan pada 1991 ditahan bersama 16 pengikutnya oleh Jais di tiga lokasi berbeza, malam Ahad lalu.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, Abdul Kahar ditahan di sebuah rumah di Kemensah, Ulu Klang selepas empat tahun dibebaskan.

Pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor memerintahkan Abdul Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat.

Dia dibebaskan pada Mei 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 2:31 PM