Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki yang dipercayai mahu membunuh diri memberhentikan keretanya di bahu jalan secara tiba-tiba di Kerinchi Link, di sini, menyebabkan berlaku kemalangan dengan kenderaan lain, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 8.20 malam.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati terdapat kesan kerosakan antara dua kenderaan iaitu kereta Kia Spectra dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner.

"Siasatan awal mendapati kereta Kia Spectra dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun bergerak dari arah Damansara menghala ke Lebuhraya Persekutuan sebelum pemandu itu tiba-tiba menekan brek dan memberhentikan kenderaannya.

"SUV Toyota Fortuner dipandu lelaki berusia 20 tahun yang berada di belakang kereta berkenaan tidak sempat menekan brek lalu melanggar belakang dan menyebabkan Kia Spectra itu rapat ke pembahagi jalan di sebelah kanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, pemandu Kia Spectra itu kemudian dipercayai keluar dari kenderaannya dan berada di atas pembahagi jalan sebelum terjun ke bawah jejambat berkenaan.

KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan di Kerinchi Link menghala ke arah Damansara dari ketinggian kira-kira 15 meter.

"Lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi. Kes kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas 1959 oleh pegawai penyiasat JSPT, manakala kes bunuh diri yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dirujuk kepada Ketua Balai Polis Pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 1:31 PM