TERTUDUH bersama empat individu dituduh di Mahkamah Trafik Jalan Duta. FOTO Ihsan JSPT Kuala Lumpur
TERTUDUH bersama empat individu dituduh di Mahkamah Trafik Jalan Duta. FOTO Ihsan JSPT Kuala Lumpur
Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG peguam dituduh di Mahkamah Trafik Jalan Duta, hari ini, bersama empat individu lain yang ditahan dalam Op Mabuk di beberapa lokasi sekitar ibu negara, semalam.

Semua yang berusia 25 hingga 42 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 45 (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, peguam berusia 25 tahun itu ditahan dalam Op Mabuk di Jalan 1/62B Menjalara, Kuala Lumpur semalam, selepas ujian saringan dilakukan mendapati paras alkohol melebihi tahap dibenarkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, peguam terbabit turut bertindak agresif ketika dalam perjalanan ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dengan menjerit serta menolak bahu anggota yang memandu kenderaannya.

"Lelaki itu merapatkan badannya pada stereng kereta sehingga anggota berkenaan terpaksa memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi mengelak berlaku kemalangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, sebaik tiba di Balai Polis Trafik, peguam yang baharu enam bulan berkhidmat itu enggan memberikan kad pengenalan.

"Malah, dia juga tidak mahu mendengar arahan anggota yang bertugas untuk masuk ke pejabat tunda bagi melakukan ujian saringan kedua.

"Selain itu, dia juga enggan menandatangani slip ujian saringan kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 4:35 PM