BOMBA melakukan kerja pembersihan di lokasi kejadian. FOTO  Rosli Ilham
BOMBA melakukan kerja pembersihan di lokasi kejadian. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Kemaman: Seorang wanita terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas beracun di rumahnya di Kampung Fikri, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.15 petang, mangsa berusia 30-an itu dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Kemaman selepas mengadu pening dan sesak nafas.

Ketua Zon Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Penguasa Kanan Bomba Dua, Azman Alias berkata, sebelum kejadian, seorang lelaki yang juga rakan kepada ayah mangsa datang ke rumah terbabit untuk mengambil sebuah tong plastik.

Menurutnya, lelaki terbabit dikatakan membersihkan tong terbabit yang dipercayai berisi bahan kimia jenis 'sodium chlorite'.

"Ketika bahan terbabit dicurahkan ke dalam longkang, bahan itu dikatakan mengeluarkan letupan serta wap.

"Mangsa dipercayai terhidu gas terbabit yang menyebabkan ahli keluarganya bertindak menghubungi ambulans sebelum mangsa dikejarkan ke hospital," katanya.

Katanya, bomba terima panggilan pada 4.21 petang sebelum 18 anggota Balai Bomba Dan Penyelamat Chukai dan Kerteh serta dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita melakukan operasi menyekat pengaliran bahan kimia termasuk meneturalkan bahan kimia itu dengan menggunakan air.

"Kita berjaya menyekat pengaliran bahan terbabit dan operasi itu berjaya diselesaikan sepenuhnya jam 9.05 malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 8:27 AM