Duya peket susu tepung yang dirampas MAQIS di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 12.30 tengah malam Ahad minggu lalu. Foto Ihsan MAQIS
Duya peket susu tepung yang dirampas MAQIS di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 12.30 tengah malam Ahad minggu lalu. Foto Ihsan MAQIS
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk susu tepung dari Ireland tanpa permit import dan sijil kesihatan daripada negara asal di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, minggu lalu.

Pengarah MAQIS Johor Nur Afifah A Rahman berkata, rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawainya di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 12.30 tengah malam Ahad minggu lalu.

"Dua peket susu tepung seberat tiga kilogram (kg) yang cuba diseludup masuk itu bernilai lebih kurang RM390.70.

"Produk susu tepung yang dibawa dalam sebuah kotak itu dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Afifah berkata, pihaknya hanya merampas barangan yang cuba diseludup, manakala seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang juga wakil sebuah syarikat penghantaran diambil keterangannya sebelum dilepaskan.

Katanya, perbuatan mengimport susu tepung tanpa permit import MAQIS menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Ia membawa hukuman mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Bagi pengimportan keluaran pertanian perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara bebas daripada perosak, penyakit dan bahan cemar serta menjaga industri pertanian negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 6:08 PM