PASUKAN Operasi Cegah PATI (OCP) laut melaksanakan pemantauan dalam mengekang masukkan PATI di perairan Sabah. FOTO ihsan ESSCOM
PASUKAN Operasi Cegah PATI (OCP) laut melaksanakan pemantauan dalam mengekang masukkan PATI di perairan Sabah. FOTO ihsan ESSCOM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Operasi Cegah Pati (OCP) yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di lima daerah di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) berjaya mengurang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui 'jalan tikus'.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kejayaan ini dapat dilihat melalui penurunan pengusiran yang dilakukan oleh pasukan OCP Laut sepanjang operasi dari April hingga September lalu.

"Jika lihat statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Operasi Laut ESSCOM, memang berlaku pengurangan pengusiran di mana pada September, OCP hanya mengusir seramai 215 Pati berbanding pada awal April iaitu sebanyak 1,400 pengusiran. Memang ada penurunan.

"Selain itu, pengesanan radar yang dikendalikan oleh pasukan barisan hadapan juga menunjukkan terdapat pengurangan pergerakan bot-bot kecil terutama pada waktu malam, yang hanya ada membabitkan pergerakan kapal-kapal dagang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan sokongan serta kerja keras semua pasukan keselamatan yang terbabit terutama dalam operasi ini membabitkan Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bekerja 24 jam sehari secara bergilir-gilir tanpa henti terutama di kawasan panas dan laluan Pati.

Katanya, setakat ini terdapat 10 kapal ronda dan 32 bot kecil sudah diatur gerak bagi membantu mengawal perairan pantai timur Sabah terutama di Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau hingga ke Kalabakan.

"Buat masa ini, kita susun operasi berdasarkan jumlah aset dan keanggotaan yang kita ada.

"Sekiranya ada tambahan keanggotaan dan aset daripada agensi keselamatan lain, kita akan susun balik mengikut jumlah keanggotaan yang ada supaya rondaan dan pengawasan OCP meliputi semua kawasan panas Pati termasuk di kawasan pesisir pantai yang disyaki menjadi laluan tikus di kawasan ESSZONE," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan OCP Daratan, beliau berkata, ia diaktifkan pada awal Ogos lalu dan akan diperluaskan ke kawasan panas terutama di pesisiran pantai yang disyaki menjadi laluan kemasukan Pati.

"Secara keseluruhannya dalam lima OCP Daratan, ESSCOM sudah atur gerak seramai 358 anggota yang terdiri daripada PGA ATM dan dibantu oleh agensi lain seperti Polis Bantuan Felda dan Ibu Pejabat Polis daerah," katanya.

Beliau yakin OCP Laut dan Daratan akan dapat mengurangkan kemasukan Pati sekali gus membantu mengurangkan penularan jangkitan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 2:23 PM