DUA beruang matahari yang ditemui berkeliaran di kawasan Kampung Kuala Abang, Dungun. FOTO ihsan penduduk.
DUA beruang matahari yang ditemui berkeliaran di kawasan Kampung Kuala Abang, Dungun. FOTO ihsan penduduk.
Rosli Ilham


Dungun: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Kuala Abang, di sini, bimbang dengan kehadiran sepasang beruang matahari yang berkeliaran serta merosakkan pokok kelapa ditanam mereka.

Penduduk, Aina Shuhada Mat Yusof, 23, berkata, sebelum ini beruang itu ditemui menceroboh kebun penduduk kampung untuk mencari makan.

Bagaimanapun, katanya, kebelakangan ini kedua-dua haiwan liar itu muncul di kawasan kediamannya berkemungkinan tiada lagi sumber makanan di kawasan kebun itu.

"Saya rasa kedua-dua haiwan itu kelaparan sehingga berani masuk ke kawasan kediaman saya untuk mencari makanan.

"Saya dan keluarga takut kerana bimbang haiwan itu boleh mendatangkan bahaya kepada kami," katanya.

Menurutnya, penduduk kampung mengeluh apabila haiwan terbabit merosakkan pokok kelapa diusahakan mereka.

Katanya, dia berasa takut apabila melihat di depan mata mengenai kekuatan dan kepantasan haiwan itu memanjat pokok serta dan mencabut umbut kelapa untuk dimakan.

AINA Shuhada menunjukkan kesan kuku beruang pada pokok kelapa di belakang rumahnya.  (Gambar kecil) Kamal. FOTO ROSLI ILHAM
AINA Shuhada menunjukkan kesan kuku beruang pada pokok kelapa di belakang rumahnya. (Gambar kecil) Kamal. FOTO ROSLI ILHAM

Kamal Deraman, 52, berkata kehadiran haiwan itu menyebabkan penduduk bimbangkan keselamatan ketika keluar mencari rezeki serta kanak-kanak yang bermain di kawasan kampung itu.

"Kami sudah memaklumkan kepada semua penduduk mengenai kehadiran beruang berkenaan supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Kami berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidup Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera bertindak menangkap haiwan terbabit," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, kehadiran haiwan itu disebabkan kemusnahan habitat asal menyebabkan ia keluar mencari makanan di kawasan perumahan penduduk.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dengan segera sebelum menempatkan perangkap di kawasan haiwan itu berkeliaran.

Sebelum itu, seekor beruang spesies sama menceroboh Kampung Pinang Merah, Paka, di sini, bulan lalu dan sehingga kini haiwan terbabit belum ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 3:12 PM