Zatul Iffah Zolkiply


TIGA beranak dihantui kebimbangan dengan kehadiran beruang matahari yang memasuki kawasan rumah mereka di Kampung Buluh, di Kuala Berang, dipercayai untuk mencari madu.

Penduduk, Mokhtar Mahmud, 70, berkata, ia kejadian pertama dilaluinya sejak lebih 40 tahun tinggal di rumah pusaka itu bersama isteri dan anaknya.

Katanya, haiwan liar itu kali pertama dikesan memasuki halaman rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi, pada Selasa lalu.

"Ketika itu, saya berada di luar rumah dan terkejut melihat beruang matahari itu yang berada hanya lima meter dari saya.

"Saya tengok beruang itu panjat pokok di tepi rumah dan turun tidak lama kemudian, namun tidak sampai 10 minit, beruang itu datang balik dan panjat semula pokok.

"Saya buat bunyi mulut dan beruang itu lari ke kawasan hutan berhampiran. Bagaimanapun, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin, beruang yang sama sekali lagi berkeliaran di kawasan rumah," katanya ketika ditemui.

Walaupun belum pernah berlaku kejadian haiwan itu menyerang penduduk di kampung berkenaan namun Mokhtar berkata, kehadiran beruang matahari itu tetap menimbulkan kebimbangan khususnya ketika waktu malam kerana khuatir ia akan bertindak agresif.

MOKHTAR menunjukkan kesan cakaran beruang matahari pada pokok memasuki kawasan rumahnya. FOTO Ghazali Kori
MOKHTAR menunjukkan kesan cakaran beruang matahari pada pokok memasuki kawasan rumahnya. FOTO Ghazali Kori

Katanya, beruang matahari biasanya dilihat di dalam hutan ketika keluar berkebun dan ini kejadian pertama ia dilihat mendekati kawasan rumah penduduk.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut berhubung insiden itu akan dilakukan.

Katanya, tindakan segera juga akan diambil untuk menangkap beruang matahari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 4:41 PM