Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan parti tempatan lain di pihak kerajaan atau pembangkang di Sabah perlu mengakui yang semua pemimpinnya pernah ada hubungan dengan parti dan pemimpin dari Semenanjung.

Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP), Tan Sri Chong Kah Kiat mengakui beliau sendiri selaku Presiden LDP sebelum ini juga tidak terkecuali.

Beliau menegaskan, pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan yang lain juga pernah menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN).

"Tanya orang Sabah, semua parti hari ini, WARISAN, LDP, PBS, PCS, SAPP pemimpin mereka sebelum ini adalah sebahagian daripada BN.

"Semua pemimpin (parti) ini, mereka pada satu masa adalah sebahagian daripada parti persekutuan dan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan BN.

"Ini termasuk Ketua Menteri kita yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, malah 90 peratus hidup politiknya adalah dalam UMNO.

"Jadi apa maknanya apabila mereka tuduh saya menjadi sekutu kepada persekutuan sedangkan kita semua pernah menjadi sebahagian daripada persekutuan," katanya ketika temubual di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan beliau dan LDP adalah sekutu kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Kah Kiat yang juga bekas Ketua Menteri berkata, beliau tertanya-tanya kenapa hanya beliau yang dikaitkan dengan kerajaan Pusat sedangkan Mohd Shafie pernah menjadi pemimpin ketiga tertinggi UMNO dan begitu lama menjadi menteri Pusat.

Malah, katanya Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bertanding di DUN Tambunan kini adalah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

"Jadi kenapa saya saja, kenapa mereka takut saya sedangkan mereka semua pernah berada dalam BN. Sekarang mereka kaitkan saya dengan Muhyiddin lagi, tapi saya tidak jumpa dia ketika datang sini. Siapa yang datang ialah bekas rakannya, Mohd Shafie," katanya.

Sementara itu, Kah Kiat yang bertanding atas tiket LDP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, berkata pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, berkata WARISAN tidak perlu menyembunyikan hakikat bahawa parti itu juga ada kaitan dan kerjasama dengan parti dari Semenanjung.

Katanya, bukan UMNO dan BN saja parti dari Semenanjung, malah DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bergabung menerusi WARISAN Plus juga adalah sama.

"Kenapa fokus kepada UMNO dan BN saja parti dari Semenanjung, DAP dan PKR juga juga ada dalam WARISAN," katanya.

Mengenai sama ada parti dari Semenanjung masih mendapat tempat di hati pengundi Sabah, beliau berkata ia terpulang kepada rakyat untuk memilih parti mana yang disukai kerana ia adalah hak mereka.

"Sama juga dengan BN dan UMNO, terpulang kepada rakyat tetapi apa yang saya mahu tekankan ialah semua parti termasuk WARISAN ada parti Semenanjung. LDP saja sendiri tapi kena tuduh pula bersama Muhyiddin," katanya.

Dalam pada itu, Kah Kiat menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan atau dari Semenanjung bagi membentuk kerajaan jika LDP tidak mendapat majoriti mudah pada 26 September ini.

CALON Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Kah Kiat pada PRN Sabah 2020. FOTO ASWADI ALIAS
CALON Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Kah Kiat pada PRN Sabah 2020. FOTO ASWADI ALIAS

Katanya, ia termasuk dengan WARISAN Plus selagi parti itu bersetuju dengan perjuangan LDP ke arah mengembalikan kegemilangan Sabah dan menyelesaikan segala isu yang berlaku di negeri ini khususnya masalah pendatang asing tanpa izin (PTI) seperti digariskan dalam manifestonya.

Pada PRN kali ini, LDP bertanding di 46 kerusi dengan harapan untuk memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 3:06 PM