PROSES penamaan calon di DUN Pantai Dalit diadakan di Dewan Kinabalu, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
PROSES penamaan calon di DUN Pantai Dalit diadakan di Dewan Kinabalu, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


Tuaran: Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, Pantai Dalit menyaksikan pertandingan lapan penjuru membabitkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), BN, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan dua calon Bebas.

Pertandingan itu disahkan selepas Pegawai Pengurus PRN DUN Pantai Dalit, Awang Md Yusuf mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam PRN terbabit.

Proses penamaan calon tamat 11.40 pagi tadi selepas tempoh penamaan calon di Dewan Kinabalu, Pusat Latihan RELA Gayang, Tuaran ditutup pada 10 pagi, disusuli tempoh bantahan satu jam 40 minit.

Calon yang diumumkan ialah calon WARISAN, Rakam Sijim diikuti calon BN, Jasnih Dayah; calon PGRS, Awil Kamsari; calon PCS, Mohd Amirul Amin; calon LDP, Rusdi Saelih; calon USNO, Matbee @ Matbeh Ismail; dan dua calon Bebas, Johan Jahid dan Peter Pikul.

Pantai Dalit adalah DUN Baharu dengan 15,091 jumlah pengundi bagi 2020.

Sementara itu, penyokong parti BN antara jumlah yang ramai hadir memberi sokongan dan berkumpul di luar pintu utama pusat penamaan calon sejak 7 pagi, hari ini.

Proses penamaan calon di lokasi juga berjalan lancar dan dalam keadaan tenang dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 2:02 PM