Mohd Azwan (kanan) menyerahka replika kunci rumah zakat MAIK kepada seorang dari keluarga miskin di Chiku 3, hari ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Mohd Azwan (kanan) menyerahka replika kunci rumah zakat MAIK kepada seorang dari keluarga miskin di Chiku 3, hari ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Selama 15 tahun, ibu tunggal bersama lima anak tinggal menumpang di rumah ibu bapanya, sebelum mendapat bantuan rumah baharu, hari ini.

Marinortila Awang Soh, 34, yang juga generasi kedua anak peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 mendapat bantuan rumah di Chiku 3.

Dia antara 18 penerima rumah Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) termasuk di Chiku 3 (lima), Bertam (lima), Lojing (dua) dan enam lagi di sekitar bandar Gua Musang.

Majlis perasmian rumah zakat MAIK dan Penyerahan Kunci Rumah terbabit di Chiku 3 itu dilakukan Ketua Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan) Mohd Azwan Abd Rahman.

Marinortila berkata, dia tinggal bersesak di rumah ibu bapa bersama lima adik beradik lain yang juga sudah berumah tangga.

Katanya, keadaan semakin teruk sehingga tiada ruang untuk tidur apabila tiga lagi adik beradik pulang beraya di kampung pada musim perayaan.

"Apabila sudah mendapat bantuan rumah, sudah pasti dapat memberi suasana hidup lebih selesa kepada kedua ibu bapa.

"Saya tiada kerja tetap dan mengambil upah menjual sate di RKT Kesedar Paloh 2 bersama ibu dengan upah RM500 sebulan hanya sekadar cukup untuk belanja persekolahan lima anak dan tidak mampu bina rumah sendiri.

"Alhamdulillah, doa saya dan anak untuk mendapat bantuan rumah akhirnya dimakbulkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:06 PM