JAHID Jahim. FOTO Ihsan PBS
JAHID Jahim. FOTO Ihsan PBS
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) memeterai kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk menjalin hubungan politik secara formal dalam kerajaan.

Setiausaha Agung, Datuk Jahid Jahim dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata kerjasama terbabit bertujuan mewujudkan kesepakatan dalam politik dan kerjasama dalam pilihan raya khususnya dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Namun, pemeteraian kerjasama itu menjadikan PBS sebagai parti komponen PN tetapi kekal menjadi rakan sekutu dalam gabungan politik dan juga di peringkat kerajaan Persekutuan.

"Kes ini sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. Mereka adalah rakan kongsi PN," katanya.

Katanya, berdasarkan perjanjian kerjasama itu, PBS akan menjadi rakan sekutu dalam PRN yang sedang berlangsung dalam usaha membentuk kerajaan negeri Sabah.

"PBS juga dibenarkan untuk bertanding dalam PRN ini dengan menggunakan bendera dan logo sendiri.

"Gabungan kerusi yang dimenangi oleh PBS dan PN akan membentuk kerajaan Sabah di bawah perikatan berkenaan.

"Walaupun kita mempunyai manifesto kita sendiri, PBS juga akan menggunakan dan berkongsi manifesto PN semasa dan sepanjang kempen PRN.

"PBS akan menjalin kerjasama dan bersekutu dengan semua parti komponen PN seperti yang tersenarai dalam pendaftaran perikatan berkenaan," katanya.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani antara Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Jahid mewakili PBS bertempat di Pejabat PBS Bahagian Tamparuli, semalam.

Jahid berkata, ini adalah keunikan PBS di mana beliau menyifatkan parti terbabit adalah sebuah parti yang berdiri sendiri, mempunyai autonomi sepenuhnya, tidak menerima arahan dari mana-mana pihak namun menjadi sebahagian daripada PN untuk membangunkan Malaysia.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:08 PM