Hasni Mohammad  menjawab soalan lisan ADUN pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga DUN Johor ke-14 di Iskandar Puteri. FOTO IHSAN UNIT MEDIA DAN KOMUNIKASI PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR
Hasni Mohammad menjawab soalan lisan ADUN pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga DUN Johor ke-14 di Iskandar Puteri. FOTO IHSAN UNIT MEDIA DAN KOMUNIKASI PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR
Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Ekonomi Johor terus menunjukkan penguncupan apabila dijangka mencatatkan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 17.1 peratus.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, penyusutan itu berikutan hampir semua sektor ekonomi negeri terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mengalami pertumbuhan negatif kecuali sektor pertanian.

Katanya, walaupun data berasaskan negeri bagi suku kedua belum dikeluarkan namun beberapa pemerhatian penting untuk Johor dapat dilakukan berlandaskan prestasi ekonomi nasional.

"Pertumbuhan KDNK Johor pada suku kedua tahun ini berkemungkinan besar lebih merosot berbanding penguncupan 17.1 peratus yang dicatat di peringkat nasional pada suku kedua 2020.

"Ini kerana, ekonomi Johor memulakan tahun 2020 dalam keadaan yang kurang memberangsangkan selepas pertumbuhan KDNK tahun lalu hanya mencatat kadar 2.7 peratus.

"Ia adalah pertumbuhan paling rendah dalam tempoh 10 tahun, ini dipengaruhi oleh momentum perlahan sektor perkhidmatan, pembuatan dan

pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh Raven Kumar pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga ADUN Benut berkata, berasaskan trend terkini dan faktor di atas, KDNK Johor bagi 2020 dianggarkan akan menguncup pada kadar yang lebih merosot daripada ramalan paras nasional iaitu antara 3.5 peratus sehingga 5.5 peratus.

"Secara kebiasaannya, KDNK Johor akan menguncup lebih banyak daripada kadar nasional kerana kebergantungan dinamik ekonomi

negeri kepada Singapura.

"Sektor perkhidmatan Johor telah mengalami penurunan yang ketara dalam perdagangan borong dan runcit, serta subsektor makanan dan minuman dan penginapan akibat permintaan agregat yang menurun," katanya.

Hasni berkata, kadar pengangguran Johor juga merosot apabila dianggarkan sejumlah 173,000 atau lebih pekerja hilang pekerjaan.

"Hal ini disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi Johor yang perlahan, terutama dalam sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan.

"Tambahan pula, ahli ekonomi Singapura meramalkan, 45,000 sehingga 200,000 akan diberhentikan kerja di Singapura.

"Sekiranya perniagaan di Singapura mengecilkan operasi mereka, ribuan rakyat Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura berkemungkinan besar akan diberhentikan terlebih dahulu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 3:56 PM