TENGKU Zafrul.
TENGKU Zafrul.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2021 merekodkan -0.5 peratus dari tahun ke tahun, iaitu penguncupan yang jauh lebih kecil berbanding -3.4 peratus pada suku keempat 2020.

Kadar ini mencerminkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan menunjukkan bahawa negara terus menuju ke arah pemulihan, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) dilaksanakan sepanjang tempoh terbabit.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertumbuhan suku pertama itu didorong oleh pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 6.6 peratus dan sektor pertanian sebanyak 0.4 peratus dari tahun ke tahun.

Katanya, secara keseluruhan, kesemua sektor ekonomi negara menunjukkan tanda pemulihan melalui penguncupan tahunan yang lebih kecil berbanding suku tahunan sebelum ini seperti sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak -5.0 peratus berbanding suku keempat 2020, -10.4 peratus, perkhidmatan sebanyak -2.3 peratus dan pembinaan sebanyak -10.4 peratus.

"Berdasarkan prestasi bulanan KDNK, kesan awal pelaksanaan PKP 2.0 menyebabkan pertumbuhan pada Januari menyusut sebanyak 3.5 peratus, disusuli dengan penguncupan sebanyak 3.6 peratus pada Februari.

"Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK pada Mac melonjak sebanyak 6.0 peratus, iaitu nilai yang tertinggi sejak Mac 2020.

"Ini menggambarkan hasil dan impak positif melalui langkah segera kerajaan dalam melaksanakan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion pada Januari.

"Dan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion pada pertengahan Mac 2021 bagi terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan menyediakan bantuan secara bersasar kepada rakyat dan sektor ekonomi yang masih terkesan.

"Kedua-dua pakej ini melengkapi pelbagai inisiatif Belanjawan 2021 yang terus dilaksanakan seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Geran Khas Prihatin dan juga Program Subsidi Upah," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pelbagai penunjuk ekonomi utama juga mencerminkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan iaitu kadar pengangguran yang terus pulih pada Mac 2021, iaitu 4.7 peratus berbanding kadar pengangguran tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

Beliau berkata, buat pertama kalinya selepas 11 bulan berturut-turut, bilangan orang yang bekerja mencatatkan pertumbuhan positif dari tahun ke tahun sebanyak 0.6 peratus atau 96,900 orang.

Selain itu, usaha Majlis Pekerjaan Negara (NEC) juga berjaya menghasilkan 150,597 pekerjaan setakat April 2021, melebihi jumlah unjuran kumulatif bagi bulan terbabit.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan PKP 3.0 pada 10 Mei 2021 dijangka tidak akan memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi kerana hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

"Penutupan keseluruhan ekonomi seperti PKP 1.0 akan menyaksikan pengangguran bakal mencecah 7.0 peratus (atau lebih 1 juta penganggur) yang akan lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja sendiri, belia, wanita, serta mereka yang berkemahiran/berpendapatan rendah.

"Hakikatnya, penutupan keseluruhan sektor ekonomi akan lebih memudaratkan golongan rentan dan mudah terjejas berbanding mereka yang berkemampuan.

"Kerajaan sentiasa berwaspada bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih lagi berhadapan dengan risiko dan ketidaktentuan persekitaran ekonomi domestik dan global yang sentiasa berubah-ubah, termasuklah penularan varian baru Covid-19 yang dilihat semakin meluas di seluruh dunia," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 2:42 PM