AHLI keluarga Raja Shahrul Azian Raja Mohd Din menonton perutusan khas Perdana Menteri sempena Tahun Baru 2021 ketika tinjauan di Bandar Seri Putra, Kajang. FOTO Aizuddin Saad
AHLI keluarga Raja Shahrul Azian Raja Mohd Din menonton perutusan khas Perdana Menteri sempena Tahun Baru 2021 ketika tinjauan di Bandar Seri Putra, Kajang. FOTO Aizuddin Saad
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Saya masih ingat janji ketika mula memegang tampuk pimpinan bahawa kerajaan akan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan lain.

"Mustahak, soal kebajikan rakyat adalah keutamaan kita (kerajaan)," kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk sembilan bulan lalu dalam keadaan luar biasa.

Katanya, walaupun pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19, kerajaan yang berteraskan prinsip prihatin mengambil kira semua aspek dan kebajikan masyarakat dalam perancangan sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan serta sosial.

"Saya akui untuk memulihkan ekonomi negara dalam keadaan sekarang bukanlah tugas mudah, namun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif membabitkan semua peringkat bertujuan meringankan beban dan memastikan tiada golongan tercicir.

"Kerajaan mengambil langkah tepat dan berani dalam menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dari RM980 pada 2005 kepada RM2,208.

"Langkah ini penting memastikan rakyat berada di bawah garis kemiskinan dan golongan rentan diberi tumpuan dalam strategi pembangunan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, seramai 10.6 juta rakyat menerima Bantuan Prihatin Nasional, RM12.928 bilion memberi manfaat kepada 326,136 majikan bagi mengekalkan 2.67 juta pekerja melalui Program Subsidi Upah, 830,314 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro mendapat bantuan Geran Khas Prihatin manakala 8 juta peminjam individu dan PKS menikmati manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman bank.

"Secara keseluruhan, pakej rangsangan ekonomi adalah pakej rangsangan terbesar dalam sejarah negara dan terbesar di Asia.

"Ini dijangka menyumbang lebih empat mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Malah pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan pembukaan semula ekonomi, trend pemulihan dan kesan positif kepada ekonomi dapat dilihat pada suku ketiga 2020," katanya.

Beliau berkata, prestasi KDNK bertambah baik apabila mencatatkan penguncupan 2.7 peratus berbanding penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua 2020 manakala kadar pengangguran berkurang kepada 4.7 peratus dari 5.1 peratus pada suku sebelumnya.

Katanya, kerajaan turut menubuhkan beberapa majlis di peringkat tertinggi antaranya Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Kemakmuran Bumiputera, Majlis Pekerjaan Negara, Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara serta Majlis Khas Perjanjian 1963 Sabah Sarawak.

"Walaupun negara dilanda Covid-19, Malaysia masih kekal antara 30 ekonomi paling kompetitif di dunia dengan pencapaian ekonomi antara 10 terbaik di dunia mengikut laporan World Competitiveness Ranking 2020 oleh Institute of Management Development (IMD)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 10:34 PM