Kakitangan DXN di makmal penghasilan produk.
Kakitangan DXN di makmal penghasilan produk.

Kuala Lumpur: DXN Holdings Berhad (DXN), syarikat produk makanan kesihatan tambahan tempatan kini sedang menanti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Khamis ini.

Tawaran awam permulaan (IPO) DXN Holdings Bhd berjumlah 100 juta saham untuk permohonan orang awam Malaysia, terlebih langgan sebanyak 3.2 kali.

Melalui laporan Bernama, Kumpulan itu berkata, ia menerima sejumlah 12,146 permohonan untuk 420.12 juta saham terbitan.

"Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 4,765 permohonan untuk 92.93 juta saham terbitan diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 0.86 kali.

"Bagi bahagian bukan Bumiputera, sebanyak 7,381 permohonan untuk 327.19 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 5.54 kali," katanya melalui kenyataan.

Syarikat itu berkata, 60 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah DXN, pekerja kumpulan yang layak dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu telah dilanggan sepenuhnya.

Bagi tawaran institusi, ia berkata penyelaras bersama telah mengesahkan bahawa 772.67 juta saham yang ditawarkan kepada institusi Malaysia dan asing serta pelabur terpilih termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah dilanggan sepenuhnya.

IPO kumpulan itu terdiri daripada penerbitan sehingga 932.67 juta saham, termasuk tawaran institusi sebanyak 772.67 juta saham dan tawaran runcit 160 juta saham pada 76 sen sesaham, katanya.

Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin.
Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin.

Sementara itu, DXN yang bermula di Kuala Nerang, Kedah kini berjaya melebarkan sayapnya ke 180 negara dengan 14 juta pengedar seluruh dunia.

Pengasasnya, Datuk Lim Siow Jin berkata, DXN kini memiliki lebih 200 jenis produk yang menggunakan bahan asas utamanya, cendawan ganoderma atau Lingzhi.

Katanya, syarikat memiliki 14 juta ahli di seluruh dunia yang mana lebih daripada tiga juta ahli aktif berniaga.

"Selain Malaysia, pasaran paling besar DXN adalah dari Timur Tengah, Mexico, Peru dan Bolivia dan produk paling laris adalah kopi yang mana kita mempunyai 13 jenis minuman kopi dengan bahan utamanya ganoderma.

"Kami turut mempunyai pusat kajian dan pembangunan (R&D) sendiri dan terbaru DXN menghasilkan produk kecantikan dan penjagaan produk kesihatan lain, juga daripada ganoderma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 5:47 PM