Mohd Amin Jalil

Seremban: Degil dan masih menjalankan aktiviti perjudian dalam talian walaupun sudah diberi amaran, akhirnya 12 rumah kedai menerima padah apabila polis bertindak menyerbu dan memotong bekalan elektrik mereka dalam operasi bersepadu di sekitar bandar, hari ini.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bermula 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, 12 premis yang dikenal pasti itu membabitkan tiga di kawasan Balai Polis Campbell, Balai Polis Rahang (3) dan Balai Polis Seremban 2 (6).

Katanya, pengusaha ini didapati beroperasi sekitar dua dan tiga bulan lalu dan beberapa pemeriksaan dijalankan namun mereka ini masih berdegil serta meneruskan kegiatan berkenaan.

"Oleh itu kita bertindak memotong bekalan elektrik yang dibekalkan ke premis ini dengan harapan kegiatan atau aktiviti ini dapat dibanteras dan dilumpuhkan.

"Kita akan meneruskan operasi pemotongan bekalan elektrik dan akan bertindak lebih tegas termasuk mengambil tindakan ke atas pemilik yang menyewakan premis untuk kegiatan judi dalam talian.

"Tindakan ini diambil mengikut peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya kepada media di lokasi operasi di Kawasan Perindustrian Oakland Seremban 2, di sini, hari ini.

MOHD Said (kanan) memerhatikan kakitangan TNB membuat pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian di Seremban 2. FOTO Mohd Amin Jalil
MOHD Said (kanan) memerhatikan kakitangan TNB membuat pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian di Seremban 2. FOTO Mohd Amin Jalil

Mengulas lanjut, Mohd Said berkata, selain melalui risikan yang dilakukan polis, tindakan itu juga adalah hasil aduan daripada orang awam.

"Mereka yang menjalankan kegiatan itu dilihat melakukan secara tersembunyi bagi mengelak dihidu pihak berkuasa. Pengusaha sudah dinasihatkan supaya menghentikan aktiviti berkenaan kerana ia tidak akan memberi manfaat sebaliknya tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka.

"Saya mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus bekerjasama dengan polis dalam usaha membanteras sepenuhnya kegiatan perjudian dalam talian ini. Polis akan terus memastikan langkah pencegahan dan pembanterasan kegiatan ini dilakukan sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, pengusaha terbabit boleh membuat penyambungan semula bekalan elektrik tetapi perlu mendapatkan kelulusan daripada polis terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 6:08 PM