MUHAMMAD Sanusi (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali selepas menerima kunjungan hormat beliau di Pejabat Menteri Besar, di Wisma Darul Aman.FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Sanusi (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali selepas menerima kunjungan hormat beliau di Pejabat Menteri Besar, di Wisma Darul Aman.FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Palestin menganggap keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjalinkan kesepakatan normalisasi hubungan dengan Israel baru-baru ini seperti ditikam belakang oleh saudara sendiri.

Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali berkata, tindakan yang diambil UAE itu memberi kesan negatif terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam berdepan kekejaman Zionis.

"Pemerintah UAE sebelum ini cukup kuat menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, sudah tentu kami merasa kesannya terhadap tindakan itu.

"Bagaimanapun, kami tidak akan berganjak dan sentiasa mengharapkan sokongan negara Arab dan Muslim lain dengan membentuk solidariti hingga Palestin bebas sepenuhnya dan Al-Quds sebagai ibu negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Selain itu, Walid berkata, rakyat Palestin sangat menghargai sokongan Malaysia terhadap perjuangan mereka untuk membebaskan negara itu daripada cengkaman Israel.

Menurutnya, walaupun kedudukan Malaysia jauh dari Palestin, namun sokongan negara ini tidak berbelah bagi sejak dahulu lagi.

"Terima kasih kepada kerajaan serta rakyat Malaysia terhadap sokongan diberikan.

"Setiap kali kami menyebut nama Malaysia mahu pun rakyatnya, kami sentiasa merasa tenang dan gembira.

"Bantuan yang diberikan tidak putus-putus terhadap rakyat kami," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata dalam pertemuan kira-kira sejam itu mereka banyak membincangkan isu semasa yang berlaku di Palestin dan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan moral kepada Palestin.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin untuk memerdekakan semula negara mereka yang dijajah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 4:28 PM