KEADAAN di dalam feri yang sedikit panik berikutan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi terkandas di perairan Kuala Perlis.FOTO Ihsan Amran Raman
KEADAAN di dalam feri yang sedikit panik berikutan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi terkandas di perairan Kuala Perlis.FOTO Ihsan Amran Raman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Seramai 200 penumpang feri ke Pulau Langkawi terkandas hampir lima jam di 0.5 batu nautika di perairan Kuala Perlis selepas tali sauh dan kipas enjin feri yang dinaiki mereka tersangkut lumpur berikutan air cetek pagi hari ini.

Seorang penumpang, Amran Raman, 33, berkata, kejadian itu berlaku pada 7.30 pagi selepas feri terbabit memulakan perjalanannya yang pertama dari Terminal Feri Kuala Perlis kira-kira 10 minit sebelum itu.

Menurutnya, feri berkenaan tiba-tiba terhenti dan seperti tersangkut pada sesuatu hingga tidak mampu meneruskan perjalanan.

"Ketika itu, semua penumpang berasa hairan terutamanya bagi penumpang yang tidak pernah mengalami kejadian sebegini.

"Beberapa minit kemudian, seorang daripada kru feri memaklumkan bahawa tali sauh terjatuh dan tersangkut pada kipas enjin selain air cetek menyebabkan feri tidak dapat meneruskan perjalanan," katanya yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di pulau berkenaan.

Amran berkata, suasana di dalam feri yang dinaikinya ketika itu sedikit kecoh berikutan kanak-kanak dan warga emas panik dan ada yang menangis.

"Selepas dua jam terkandas, kami kemudiannya dimaklumkan sebuah feri dari Pulau Langkawi akan ke lokasi bagi mengambil kami.

"Bagaimanapun, apabila feri terbabit sampai, kerja memindah penumpang tidak dapat dilakukan kerana air laut yang bergelora.

"Disebabkan itu kami terkandas lagi hampir dua jam sebelum kru feri memutuskan agar feri kami ditunda ke jeti Kuala Perlis," katanya yang baru selesai menjalani kursus di Janda Baik, Pahang.

Amran berkata, mereka tiba di Terminal Feri Kuala Perlis kira-kira 12.30 tengah hari dan menaiki feri yang baharu ke Pulau Langkawi pada 12.50 tengah hari.

Sementara itu, jurucakap Syarikat Feri Line Ventures berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Kami turut menerima bantuan oleh anggota keselamatan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut.

"Bagaimanapun, kerja menunda feri yang terkandas dapat dilakukan sehingga ke jeti Kuala Perlis pada tengah hari dan pihak kami memohon maaf atas masalah yang dihadapi penumpang pada hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 2:13 PM