Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Kegembiraan sekumpulan 11 rakan mandi-manda di Air Terjun Sungai Kedondong, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripadanya lemas, hari ini.

Terdahulu, kehilangan lelaki warga tempatan berusia 19 tahun itu disedari rakan-rakannya selepas mendapati dia tenggelam ketika cuba menyeberangi sungai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.28 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerah ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, mangsa sudah dibawa naik oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

"Anggota bertugas kemudian membawa mayat ke jalan utama yang mengambil masa selama kira-kira 30 minit," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Mukhlis berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 5:56 PM