ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang lelaki yang cedera pada bahu selepas terjatuh di atas batu ketika mandi di tebing Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali, hari ini. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang lelaki yang cedera pada bahu selepas terjatuh di atas batu ketika mandi di tebing Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali, hari ini. FOTO ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Tidak sampai 24 jam seorang pemuda mati lemas, seorang lagi lelaki cedera parah selepas terjatuh di atas batu ketika mandi di tebing Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali, di sini, tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.45 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati mangsa berusia 53 tahun jatuh terhempas di atas batu di tebing sungai semasa mandi.

"Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalaman pada bahu namun dilaporkan stabil," katanya semalam.

Norazam berkata, mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 5:06 PM