KEBUN durian jenis Musang King dalam hutan simpan di Raub dimusnahkan pihak berkuasa. FOTO Mohd Rafi Mamat
KEBUN durian jenis Musang King dalam hutan simpan di Raub dimusnahkan pihak berkuasa. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


KELAB Anak Raub (KAR) menyelar tindakan pemimpin politik yang dilihat cuba menangguk di air keruh dengan mempolitikkan isu kebun durian haram di Raub.

Presidennya, Fadzli Mohamad Kamal berkata, isu berkenaan perlu dilihat dengan rasional dan pekebun durian terbabit perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan serta tidak membangkitkan isu perkauman.

Sehubungan itu, katanya, KAR menyokong tindakan tegas kerajaan Pahang dalam mengambil tindakan terhadap isu kebun durian haram jenis Musang King di Raub.

"Masalah kebun durian haram sudah lama berlarutan dan tindakan tegas perlu dilakukan segera kerana ia bukan sahaja merugikan kerajaan negeri, malah turut membabitkan penduduk di daerah ini.

"Kami amat berharap tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada dapat diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka (pekebun) yang ingkar dengan arahan dikeluarkan," katanya ketika ditemui media, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan sama, polis menerima sembilan laporan berkaitan aktiviti pencerobohan tanah kerajaan negeri di Raub.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tiga laporan dibuat tahun ini dan enam laporan lagi sepanjang tahun lalu.

"Ibu Pejabat Daerah (IPD) Raub sentiasa memantau perkembangan semasa isu pencerobohan tanah kerajaan negeri, terutama di daerah ini.

"Setakat ini di Raub sahaja, kita menerima sembilan laporan membabitkan rasa tidak puas hati pengusaha durian terhadap tindakan yang diambil ke atas mereka dan ada juga laporan dibuat untuk keselamatan diri dan perniagaan," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian terkenal di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 12:48 PM