AKSI penunggang yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
AKSI penunggang yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


ENAM lelaki termasuk dua pembonceng ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi itu diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod bersama 10 anggota Unit Risikan dan Operasi bermula pada 1 pagi.

“Hasil risikan dilakukan, pasukan menemui empat penunggang motosikal dan dua pembonceng yang melakukan aksi ‘wheelie’ di lokasi berkenaan.

“Mereka berusia antara 16 hingga 21 tahun menunggang motosikal Honda EX5, Yamaha 135LC, Honda RS 150 dan Yamaha Ego Avantiz,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkefly berkata, lelaki berkenaan antaranya, pelajar dan bekerja sebagai penghantar makanan dan mekanik.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 1:59 PM