SEORANG lelaki maut dihempap pokok ketika menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis
SEORANG lelaki maut dihempap pokok ketika menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang lelaki maut dipercayai dihempap pokok tumbang ketika menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin, dekat Kawasan Perindustrian Berat hala ke Tampin, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Ikram Mohd Yazid, 21, parah di kepala manakala rakannya parah di bahagian badan dan dirawat di unit kecemasan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha FZ dalam perjalanan ke Rembau.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang bergerak dari arah Senawang. Setiba di tempat kejadian, sebatang pokok yang berada di kiri jalan tumbang lalu menghempap motosikal mangsa yang sedang bergerak.

"Akibatnya kedua-dua mangsa terperosok di bawah pokok yang tumbang. Penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pembonceng motosikal yang berusia 18 tahun di bawa ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan di zon merah akibat kecederaan parah di bahagian badan.

"Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) bagi bedah siasat jam 9 pagi tadi," katanya.

Nanda berkata, siasatan juga mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus, mempunyai dua lorong berlawanan arah dengan keadaan jalan gelap tanpa pencahayaan lampu jalan, namun cuaca dalam keadaan baik.

"Pokok tumbang dipotong dan dialihkan pihak bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Waris juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 1:49 PM