Hazira Ahmad Zaidi


“SELEPAS beberapa jam menahan sakit, akhirnya saya selamat melahirkan bayi sulung melalui pembedahan,” kata kakitangan KPJ Perdana Cawangan Klang, Nur Nabilah Maisarah Mohd Rasidi, 26.

Dia dimasukkan ke hospital 12 tengah hari kelmarin dan selamat melahirkan bayi perempuan 3.11 kilogram (kg) 4.43 pagi tadi.

“Kehadiran anak sulung bukan saja memberikan rahmat bagi saya dan suami, Ibnu Minhaz Mohd Norhan, 28, malah satu perasaan sukar digambarkan dan tidak dapat diungkapkan.

“Kami sangat bertuah kerana cahaya mata sulung dilahirkan pada Hari Kebangsaan memandangkan saya dijangka bersalin semalam,” katanya ditemui di Hospital Pakar KPJ Perdana Kota Bharu hari ini.

Kegembiraan itu turut dikongsi suami isteri, Mohd Fadli Deraman, 36, dan Nik Nurfaizah Hanim Nik Abd Hamid, 34, apabila menerima kehadiran anak keempat mereka yang lahir hari ini.

“Saya dan suami teruja dan gembira apabila anak bongsu daripada empat beradik seberat 3.35 kg ini dilahirkan pada tarikh sambutan kemerdekaan dan perkara ini tidak pernah kami jangka sebelum ini.

“Mengikut tarikh jangkaan bersalin, saya sepatutnya melahirkan anak ini dua minggu lebih awal iaitu pada Aidiladha lalu namun perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya apabila dia dilahirkan 5.20 pagi tadi,” katanya.

Bagi Rokiah @Shyriena Che Isa, 31, dia bersyukur kerana selamat melahirkan bayi lelaki 3.1 kg pada 7.09 pagi walaupun sebelum proses kelahiran berlaku komplikasi.

“Pada awalnya, doktor mahu melakukan pembedahan kerana tali pusat terbelit pada leher bayi, namun doktor berjaya membantu saya melahirkan anak secara normal tanpa pembedahan.

“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan cahaya mata ketiga pada hari merdeka dan ini adalah satu-satunya keturunan saya yang dilahirkan pada 31 Ogos,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Perdana Kota Bharu, Dr Zanariah Jaafar berkata, sehingga 11 pagi ini tiga bayi merdeka dilahirkan di hospital itu.

“Bayi terawal yang dilahirkan pada 4.43 pagi, bayi kedua 5.20 pagi, dan bayi ketiga 7.09 pagi, sementara dua bayi lagi masih menunggu proses kelahiran.

“Walaupun belum lahir ke dunia, mereka ditunggu-tunggu untuk diberi sambutan oleh seluruh rakyat Malaysia di samping ahli keluarga masing-masing,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan hamper kepada ibu bapa bayi yang lahir pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 2:23 PM
TIGA bayi merdeka yang lahir pada hari ini di Hospital Pakar KPJ Perdana Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
TIGA bayi merdeka yang lahir pada hari ini di Hospital Pakar KPJ Perdana Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi