SURAYA menyerahkan sumbangan serta cek contoh SSPN-i kepada Siti Najwa yang melahirkan bayi 5.05 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO Noorazura Abdul Rahman
SURAYA menyerahkan sumbangan serta cek contoh SSPN-i kepada Siti Najwa yang melahirkan bayi 5.05 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri memperuntukkan RM2.4 juta bagi membayar insentif kelahiran anak Kedah (IKA) kepada 24,038 bayi yang dilahirkan sejak 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata setiap bayi yang baru lahir akan menerima RM100 iaitu RM80 dalam bentuk baucer manakala RM20 lagi dalam Akaun Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)

"IKA diberikan untuk membantu meringankan beban kewangan ibu bapa di dalam membuat persediaan menyambut kelahiran bayi mereka, waris boleh membuat tuntutan dalam tempoh enam bulan selepas kelahiran.

"Ibu bapa boleh menuntut skim ini melalui pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun pihak hospital sendiri akan menyerahkan borang itu selepas kelahiran bayi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Meraikan Anak Tahun Baru 2018 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, sembilan bayi dilahirkan di HSB sejak 12.20 tengah malam sehingga 9.30 pagi tadi.

Bagi seorang guru yang bertugas di Putrajaya, Nor Azmira Abdullah, 37, dia begitu teruja anak kelimanya dilahirkan pada 6.15 pagi tadi.

"Saya mula sakit pagi semalam, saya asyik memujuk bayi sambil mengusap perut supaya dia bertahan dan menunggu sehingga tahun baru.

"Alhamdulillah, saya selamat lahirkan anak saya pada tahun baru seperti yang saya mahukan," katanya yang berasal dari Pumpong, Alor Setar.

Perasaan itu turut dikongsi oleh ibu muda, Siti Najwa Zainol,21, yang turut melahirkan anak perempuan pada 5.05 pagi.

Katanya, dia dijangka bersalin minggu depan 8 Januari dan tidak menyangka melahirkan anak sulungnya lebih awal.

Bagaimanapun, bagi Cristina Som Sumsak, 25, anak kedua yang dilahirkan pada 3.29 pagi pula terpaksa dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan berikutan Cristina mengidap kencing manis.

"Walaupun lewat sehari saya bersalin dari tarikh jangka, saya tetap bersyukur dapat melahirkan anak secara normal dan lebih menggembirakan dia lahir pada 1 Januari," katanya yang tinggal di Naka, Kuala Nerang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 1:26 PM