Ketua Perladangan Mampan dan Digital KPAM Rusila Hashim
Ketua Perladangan Mampan dan Digital KPAM Rusila Hashim
Oleh Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: Tidak mendapat maklumat sebenar perancangan pembinaan ladang ternakan ayam oleh Konsortium Penternakan Ayam Muslim Berhad (KPAM) menjadi punca penduduk di lapan kampung di Jalan Benut, dekat sini, membantah pembangunan yang dirancang.

Ketua Perladangan Mampan dan Digital KPAM Datin Rusila Hashim berkata, pihaknya turut tidak diberikan peluang oleh penduduk Kampung Parit Gantung, Parit Haji Basri serta Kampung Datuk Ibrahim Majid ketika cuba memberikan penerangan melalui Program Taklimat Pembinaan Reban Ayam Tertutup di Balai Raya Kampung Parit Haji Basri, 29 Ogos lalu.

Katanya, projek pembinaan reban ayam tertutup ini sudah mendapat kelulusan bersyarat daripada Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Kebenaran Merancang Bersyarat pada 25 Jun lalu.

"Perjumpaan pertama yang dianjurkan oleh MDSR termasuk lawatan ke tapak yang dicadangkan dengan dihadiri oleh wakil penduduk kampung dan Ahli Majlis MDSR dan Pejabat Tanah Daerah Kluang pada 26 Julai lalu namun tiada bantahan secara bertulis mahu pun lisan diberikan kepada KPAM.

"KPAM di dalam permohonan Kebenaran Merancang sudah menggariskan dan mengesyorkan beberapa solusi serta pendekatan yang akan diguna pakai bagi pembangunan reban ayam tertutup ini," katanya ketika mengulas laporan Harian Metro bertajuk "Jangan tambah lalat di kampung kami" pada 25 Ogos dan "Selesaikan masalah lalat, bau busuk", 29 Ogos lalu, hari ini.

Menurutnya, solusi yang diguna pakai adalah pembinaan reban ayam tertutup dilengkapi automasi dan sistem komputer canggih yang berupaya menyelenggarakan operasi reban ayam secara efisyen dan berkesan seperti kawalan suhu serta gas.

"Sistem pengudaraan, pembersihan najis ayam secara mekanikal dan pengumpulan berkala serta bersih bagi mengelak masalah pembiakan lalat atau bau.

"Najis ayam ini bukan dibuang ke dalam ladang pertanian seperti yang dipraktikkan oleh sesetengah pihak yang menjadi punca kepada pembiakan lalat dan bau busuk," katanya.

Rusila berkata, najis ayam diangkut menggunakan bekas tertutup oleh lori yang direka khas sebelum diproses secara mesra alam kepada produk berguna seperti baja-bio atau gas-bio bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

"Ladang ternakan ini juga akan dilengkapi dengan kolam kumbahan bagi merawat segala air kumbahan sebelum dilepaskan ke perparitan awam dengan kadar kebersihan yang memenuhi piawaian pihak berkuasa.

"Masalah lalat dan bau busuk dari ladang ternak ayam yang sudah diusahakan sejak sekian lama di kawasan berkenaan sepatutnya tidak berlaku jika pengusaha sedia ada mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan selain menguruskan ladang ternak mereka secara sihat dan berhemah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 4:52 PM