Mary Victoria Dass


ORANG ramai tidak sepatutnya mengecam tindakan seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki dalam kejadian amuk di Klang semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sebaliknya tindakan itu dilakukan demi mempertahankan diri mahupun keselamatan ramai.

Beliau berkata, pihaknya sedar ramai pihak yang kurang menyenangi tindakan anggota polis berkenaan dan memberi kecaman di media sosial.

“Tindakan dilakukan oleh anggota URB berkenaan adalah bagi mempertahankan diri ketika lelaki bersenjatakan pisau bertindak agresif dan mahu menikamnya.

“Terdapat kemungkinan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan hingga mengakibatkan kematian sekiranya tidak mempertahankan diri,” katanya menyifatkan kejadian berkenaan amat malang sekali.

Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, agak sukar bagi anggota polis menghadapi situasi seperti itu.

“Anggota terbabit perlu mengelak dan mengambil langkah mempertahankan diri kerana beliau mahu ditikam lelaki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pancaragam Zon Selatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mohamad Fuzi berkata, memang terdapat beberapa teknologi baru yang boleh menggantikan penggunaan pistol iaitu seperti pistol renjat atau pistol renjatan, malangnya pihaknya tidak dapat membekalkannya kepada semua anggota termasuk unit URB.

“Saya difahamkan, selepas kejadian berkenaan, anggota URB berkenaan dengan lain-lain unit sedaya-upaya untuk membantu mangsa yang tidak sepatutnya berkelakuan demikian terhadap anggota yang melakukan rondaan.

“Ini adalah risiko yang perlu dihadapi dan ditanggung anggota polis.

“Mungkin ramai pihak tidak gembira dengan tindakan dilakukan tetapi demi mempertahankan diri, anggota terpaksa bertindak demikian,” katanya.

Semalam, seorang lelaki ditembak polis di Klang selepas dipercayai mengamuk dan cuba menikam anggota URB berhampiran bank.

Polis cuba menenangkan suspek selama 20 minit sebelum lelaki itu bertindak agresif mengejar anggota polis dan cuba menikamnya.

Berita berkaitan

Amuk tak boleh keluar duit [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 12:57 PM