RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek  menikam peniaga mi di premis perniagaan Taman Cemerlang Rapat, Ipoh.
RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek menikam peniaga mi di premis perniagaan Taman Cemerlang Rapat, Ipoh.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Peniaga makanan di Taman Cemerlang Rapat, di sini cedera di perut selepas ditikam dengan pisau oleh seorang pelanggan yang tidak dikenali.

Petikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.

Suspek juga dilihat berinteraksi dengan mangsa sebelum menikamnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hasaan berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 6 pagi semalam ketika mangsa berusia 44 tahun membuka kedainya.

"Mangsa ditikam dengan pisau di bahagian perut oleh pelanggan lelaki namun tidak dikenalinya.

"Dia cedera dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) serta dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini giat memburu suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Yahaya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes untuk menghubungi Bilik Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 9:56 AM