TIGA buah kereta yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui semula selepas polis menahan seorang lelaki dan dua wanita Geng CD Dragon semalam. FOTO IHSAN PDRM
TIGA buah kereta yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui semula selepas polis menahan seorang lelaki dan dua wanita Geng CD Dragon semalam. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Kegiatan Geng CD Dragon yang dipercayai terbabit mencuri kenderaan di daerah ini dan Pulau Pinang sejak dua bulan lalu berakhir selepas mereka ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Naga Lilit, Padang Serai, di sini, semalam.

Penahanan itu membabitkan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 36 tahun yang ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan D9 IPD Seberang Perai Tengah dengan dibantu anggota Balai Polis Padang Serai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, tangkapan 5 petang semalam itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 33 tahun selepas menyedari kereta Honda Civic milik ibunya yang diletakkan di luar rumah mereka di Lorong Ktc 3/6 Ktc 3 Kulim di sini didapati hilang dan dipercayai dicuri.

"Berikutan tangkapan tiga suspek itu semalam, polis berjaya merampas sebilah pisau lipat pelbagai guna, kuku kambing dan tiga kereta.

"Tiga kereta dirampas itu membabitkan dua Proton Wira dan sebuah Honda Civic yang bersangkut kes kehilangan di Machang Bubok (Proton Wira), Perai di Pulau Pinang (Honda Civic) dan Tasek Gelugor, Pulau Pinang (Proton Wira)," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Azhar berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan mengaku terbabit dalam kes ini dan mereka bergiat aktif sejak dua bulan lalu selepas ketua kumpulan itu dikatakan baru keluar penjara.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk dadah dan lima daripada terbabit dalam mencuri kenderaan.

Katanya, seorang daripada suspek wanita yang berusia 29 tahun pula mempunyai 13 kes lampau jenayah termasuk curi kenderaan dan dadah.

"Seorang lagi wanita yang berusia 23 tahun tidak mempunyai rekod lampau sebelum ini dan ketiga-tiga mereka adalah rakan penjenayah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga mereka didapati positif dadah," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman pagi ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 11:18 AM