Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Sri Ayu Kartika Amri


"DALAM masa terdekat, kami sendiri akan turun bertemu komuniti transgender," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau mengulas isu usahawan kosmetik, Safiey Illias yang secara terbuka mendedahkan mengenai pembedahan wajah yang dilakukannya kepada umum.

Zulkifli berkata, pihaknya juga sudah mengadakan pertemuan dengan semua penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi membincangkan isu transgender ini.

"Isu ini perlu dilihat secara holistik dan langkah yang diambil perlu berhemah.

"Kita mahu ada kesedaran terhadap individu berkenaan sebagai seorang Muslim.

"Kita juga mahu membantu mereka untuk menjadi Muslim yang baik," katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya adakah sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap individu seperti Safiey, beliau berkata, ia hanya boleh dibuat apabila terdapat laporan kepada jabatan agama Islam negeri di atas akta berkaitan jenayah orang Islam.

Beliau hadir merasmikan program Semarak Dakwah oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Program Semarak Dakwah yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan itu termasuk sesi kaunseling, santai anak muda, ziarah prihatin, program bina insan dan program hiburan Islam.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Safiey menjalani proses pembedahan kosmetik pada wajah, payudara dan punggung dengan kos mencecah RM1 juta hingga RM2 juta.

Dalam laporan sama, Safiey mendedahkan pada bahagian wajah saja dia sudah membelanjakan hampir RM300,000 bersamaan dengan harga sebuah kereta mewah jenis Ford Mustang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 4:41 PM