LAPORAN portal sebelum ini.
LAPORAN portal sebelum ini.
Syafil Syazwan Jefri


"SAYA berkongsi mengenai pembedahan plastik dan kesan buruk yang saya alami sebagai pengajaran buat orang lain. Saya tiada niat untuk mempengaruhi atau mengajak orang untuk melakukan pembedahan plastik."

Itu kata usahawan kosmetik, Safiey Illias berhubung permintaan Juara Pencetus Ummah musim 2015 Syed Bakri Al-Yahya yang memintanya bertaubat selepas melakukan pembedahan kosmetik bagi menaikkan kening.

Terdahulu, Safiey mendedahkan dia membelanjakan RM30,000 untuk melakukan pembedahan itu.

Julai lalu Safiey turut membuat pendedahan sama di akhbar ini dia menjalani beberapa pembedahan kosmetik antaranya menebuk dahi, hidung dan tulang rusuk dengan membelanjakan RM300,000 bersamaan sebuah kereta mewah Ford Mustang.

Safiey atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Illias ketika dihubungi berkata, dia juga meminta pihak berkenaan supaya memantau klinik tanpa piawaian dan 'doktor' tidak diiktiraf yang menawarkan rawatan kosmetik serta pembedahan plastik yang tidak selamat.

Safiey turut meminta pengikutnya di Instagram supaya berhati-hati dalam menjalani rawatan kosmetik kerana sekiranya salah langkah, ia boleh memudaratkan diri sendiri.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang ingin bertemu dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) termasuk dirinya, Safiey berkata, dia belum menerima sebarang maklumat mengenainya.

"Beliau (Dr Zulkifli) adalah rakan kepada abang ipar saya dan mengenali keluarga saya. Jadi, jika beliau betul-betul nak berjumpa dengan kami, beliau tahu saluran yang betul dan bagaimana untuk menghubungi saya.

Takkan saya sendiri yang nak 'panjat' Putrajaya untuk berjumpa dengan menteri, kan? Mestilah ada protokol yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Safiey juga tidak lagi rasa sakit di bahagian pipi kanannya selepas menjalani prosedur membuang nanah sebanyak dua kali kesan daripada kegagalan prosedur pemindahan lemak yang dibuat pada November tahun lalu.

"Semalam, prosedur membuang nanah di pipi saya dibuat sekali lagi dan saya dapat lihat ada darah kotor. Terkejut juga saya kerana jumlahnya yang banyak.

"Apabila sudah buang, rasa sakit yang saya alami selama tiga hari tiga malam sebelum ini sudah hilang. Cuma pipi saya masih lagi bengkak," katanya.

Safiey berkata, dia juga bersyukur kerana tidak berlaku sebarang komplikasi selepas prosedur membuang nanah itu dijalankan.

"Bahagian muka ada banyak saraf dan yang membimbangkan saya adalah jika berlaku sebarang komplikasi dan menyebabkan kecacatan. Jadi, selama tujuh hari saya perlu habiskan antibiotik seperti yang dinasihatkan doktor," katanya.

Berita berkaitan

  • Akan turun bertemu komuniti transgender - Dr Zulkifli
  • Bertaubatlah saudaraku
  • Muka Safiey bernanah!
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 4:50 PM