ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri. FOTO Luqman Hakim Zubir
ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri. FOTO Luqman Hakim Zubir
Raja Noraina Raja Rahim


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan pertemuan bersama komuniti transgender, hari ini.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan mengenai isu transgender ketika ini dan mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau berkata, pertemuan itu akan diadakan di hotel di Kuala Lumpur petang ini.

"Kesemua wakil daripada pelbagai pihak berkaitan dijangka menyertai pertemuan itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Hijrah Merdeka dan Majlis Pelancaran Taqwim Hijrah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS di Batu Caves, Gombak, hari ini.

Ditanya wakil transgender yang dijangka hadir dan objektif pertemuan itu, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Kalau boleh selepas berlaku (pertemuan) baru saya akan maklum (jelaskan)," katanya ringkas.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Dr Zulkifli akan turun bertemu komuniti transgender dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya juga sudah mengadakan pertemuan dengan semua penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi membincangkan isu transgender ini.

Beliau mengulas isu usahawan kosmetik, Safiey Illias yang secara terbuka mendedahkan mengenai pembedahan wajah yang dilakukannya kepada umum.

Safiey menjalani proses pembedahan kosmetik pada wajah, payudara dan punggung dengan kos mencecah RM1 juta hingga RM2 juta.

Safiey mendedahkan pada bahagian wajah saja dia sudah membelanjakan hampir RM300,000.

Berita berkaitan:

  • Safiey Illias buat rawatan kosmetik RM1 juta hingga RM2 juta
  • Akan turun bertemu komuniti transgender: Dr Zulkifli
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 1:41 PM