ANTARA pelbagai rokok tidak bercukai yang berjaya dirampas oleh pihak polis dalam serbuan di salah sebuah rumah dekat Kampung Kuala Slim. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA pelbagai rokok tidak bercukai yang berjaya dirampas oleh pihak polis dalam serbuan di salah sebuah rumah dekat Kampung Kuala Slim. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin

Slim River: Taktik licik seorang peniaga yang menjadikan rumah di Kampung Kuala Slim, dekat sini, sebagai tempat menyimpan stok rokok seludup lebih setahun lalu terbongkar selepas kediaman itu diserbu pihak polis, semalam.

Dalam serbuan jam 5.30 petang itu, polis menahan lelaki berusia 37 tahun berkenaan dan merampas 297 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama di dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota risikan operasi Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ).

Katanya, rampasan rokok terbabit dianggarkan bernilai RM12,839.

"Siasatan awal polis mendapati suspek sudah lebih setahun menjual rokok seludup dan menjadikan rumah sebagai tempat menyimpan stok rokok seludup terbabit.

"Kami masih menjalankan siasatan dari mana rokok seludup itu diperoleh, cara serta laluan yang digunakan untuk memasuki daerah Muallim," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sudah direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 8 Ogos.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 ( 1 ) ( d ) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 3:24 PM