Nurul Hidayah Bahaudin


PERSELISIHAN faham antara beberapa individu bermotorsikal dipercayai menjadi punca pergaduhan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung pergaduhan itu, 1.29 pagi semalam.

"Difahamkan pergaduhan itu membabitkan beberapa individu di lokasi berkenaan dengan bersenjatakan topi keledar.

"Bertindak atas maklumat itu, pasukan polis peronda (MPV) dan pasukan Operasi Cantas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi digerakkan ke lokasi.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi terbabit, kami mendapati tiada lagi pergaduhan berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

PETIKAN video tular menunjukkan berapa individu bermotorsikal bergaduh.
PETIKAN video tular menunjukkan berapa individu bermotorsikal bergaduh.

Mohd Fahmi berkata, pergaduhan itu dipercayai tidak membabitkan sebarang elemen kongsi gelap atau gangsterisme.

"Tiada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam kejadian itu.

"Namun, satu laporan polis dibuat oleh Petugas Pusat Kawalan Polis Dang Wangi dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata di tempat awam," katanya.

Terdahulu, video berdurasi sembilan saat menunjukkan beberapa individu bergaduh dengan bersenjatakan topi keledar di Dataran Merdeka, tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 1:47 PM