KAKITANGAN TNB dan polis dalam operasi memotong bekalan elektrik di premis berkenaan. FOTO Ihsan IPD Klang Utara.
KAKITANGAN TNB dan polis dalam operasi memotong bekalan elektrik di premis berkenaan. FOTO Ihsan IPD Klang Utara.
Norzamira Che Noh


POLIS Klang Utara memotong bekalan elektrik di 12 premis rumah kedai yang dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di Bandar Baru Klang, Klang, semalam.

Operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bermula 4 petang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, terdapat beberapa premis yang sebelum ini sudah dikenakan tindakan termasuk dihadapkan ke mahkamah.

"Walaupun pernah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, pemilik premis judi dalam talian ini, tidak serik malah meneruskan aktiviti berkenaan.

"Kita akan meneruskan operasi pemotongan bekalan elektrik ini dan akan bertindak lebih tegas termasuk mengambil tindakan ke atas pemilik yang menyewakan premis untuk kegiatan judi dalam talian," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain premis judi dalam talian, pihaknya juga mempergiat serbuan dan pemotongan bekalan elektrik di kilang haram sekitar daerah itu.

Tindakan berkenaan diambil mengikut peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 8:18 AM