PEGAWAI polis dan juruteknik TNB menjalankan operasi pemotongan bekalan elektrik. FOTO Ihsan Polis
PEGAWAI polis dan juruteknik TNB menjalankan operasi pemotongan bekalan elektrik. FOTO Ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik tiga premis di daerah ini, semalam, selepas didapati menjalankan kegiatan perjudian atas talian.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, ia membabitkan dua premis di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar dan satu premis lagi di Bagan Sekinchan, Sekinchan.

"Sepasukan 10 pegawai polis dan juruteknik TNB Cawangan Sungai Besar menjalankan operasi pemotongan fasa pertama bermula 10 pagi.

"Tindakan tegas ini dilakukan susulan serbuan dan tangkapan berkaitan aktiviti perjudian dalam talian sepanjang tahun lalu.

"Semasa operasi dijalankan, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku. Operasi tamat pada 1.30 tengah hari," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik itu dibuat mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 10:28 AM