NIK Ezanee memeriksa aplikasi judi dalam talian yang dihasilkan sindiket berkenaan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
NIK Ezanee memeriksa aplikasi judi dalam talian yang dihasilkan sindiket berkenaan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Sebuah premis di bangunan pejabat di Seksyen 13, di sini, yang menghasilkan lebih 500 aplikasi judi dalam talian diserbu polis, hari ini.

Dalam serbuan jam 6.30 petang itu, seramai 29 lelaki dan 11 wanita tempatan termasuk pengendali sindiket berkenaan berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan mendapati ada lebih 500 aplikasi judi dalam talian yang dipromosikan melalui media sosial.

"Kami menahan 40 individu terdiri daripada pakar teknologi maklumat (IT) yang bekerja di premis berkenaan serta dua pengurus termasuk seorang lelaki yang mengendalikan sindiket berkenaan berusia 40 tahun.

"Siasatan awal mendapati semua pekerja berkenaan mempunyai tugas masing-masing dan menerima gaji antara RM25,000 hingga lebih RM10,000 bergantung kepada tugas mereka," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak dua tahun lalu dan berpindah di bangunan pejabat terbabit sebulan lalu dengan beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 8 malam.

"Berdasarkan maklumat diperolehi, pelanggan sindiket ini terdiri daripada individu di Thailand dengan meraih keuntungan sebanyak USD 40,000 atau RM166,580 sebulan.

"Ini adalah kali pertama bagi kami membongkar kegiatan sindiket yang menghasilkan aplikasi judi bagi pelanggan di negara jiran," katanya.

Katanya, semua suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Jenayah Komputer 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 10:14 PM