GURU dan pelajar SMAASZA, Batu Buruk ceria selepas masing-masing menerima anugerah atas pencapaian mereka. FOTO MALIK MUHAMAD
GURU dan pelajar SMAASZA, Batu Buruk ceria selepas masing-masing menerima anugerah atas pencapaian mereka. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


SERAMAI 102 pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, Kuala Terengganu yang cemerlang dalam pelbagai bidang tahun lalu menerima pengiktirafan daripada sekolah berkenaan pada Majlis Kesyukuran dan Kegemilangan SMAASZA, semalam.

Turut menerima pengiktirafan daripada sekolah agama tertua di Terengganu yang ditubuhkan pada 1925 itu ialah guru yang cemerlang membantu meningkatkan prestasi pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Pengetuanya Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad berkata, majlis itu diadakan bagi menghargai pengorbanan guru yang bertungkus-lumus menyampaikan ilmu kepada pelajar tanpa mengira masa.

Selain itu, katanya, program ini juga sebagai pengiktirafan tertinggi kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah, kepimpinan dan kokurikulum.

"Kecemerlangan pelajar mencerminkan perkembangan serta kemajuan sekolah dalam melahirkan modal insan dan seterusnya membuktikan sekolah adalah institusi pendidikan yang berwibawa.

"Dengan penghargaan ini, ia mampu memupuk emosi pelajar agar terus berazam untuk maju serta berlumba-lumba menuju kejayaan sekali gus dapat membina budaya sekolah yang cemerlang dengan aktiviti bersifat positif selain mengeratkan kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah," katanya yang turut mengadakan program kolaboratif 'Classroom' antara SMAASZA dengan Madrasah Tsanawiyah Surya Buana Malang, Indonesia, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis dirasmikan bekas pengetua sekolah itu yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru Hashim Embong.

Sementara itu, penerima Anugerah Sinaran Bakti, Muhammad Irsyad Zulkipli, 18, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak sekolah selepas memilihnya menerima anugerah tertinggi itu.

"Sejujurnya saya tidak mengimpikan sebarang anugerah, saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar dan ketua pelajar tahun lalu, namun anugerah ini akan menyuntik lagi semangat saya untuk terus mencipta kejayaan lebih bermakna," katanya yang pernah merangkul pingat emas sebuah kejohanan silat antarabangsa pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:55 PM