NORIAH (empat dari kanan) meraikan pelajar SMAASZA di sekolah berkenaan susulan merangkul pingat emas dalam Pertandingan Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa di Bangkok, minggu lalu. FOTO Malik Muhamad.
NORIAH (empat dari kanan) meraikan pelajar SMAASZA di sekolah berkenaan susulan merangkul pingat emas dalam Pertandingan Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa di Bangkok, minggu lalu. FOTO Malik Muhamad.
Malik Muhamad


KEJAYAAN pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Kuala Terengganu meraih pingat emas dan mendapat anugerah khas ketika menyertai Pertandingan Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa di Bangkok, minggu lalu mendapat pengiktirafan dan reaksi positif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Bahagian Pendidikan Islam KPM, Noriah Haron berkata, kejayaan pelajar SMAASZA itu begitu membanggakan dan wajar menjadi contoh kepada pelajar lain di negara ini.

“Kejayaan pelajar SMAASZA merangkul dua gelaran dalam bidang inovasi sangat membanggakan, malah inovasi dihasilkan pelajar itu perlu dilihat sebagai satu penerokaan inovasi boleh dicontohi pelajar di seluruh negara.

“Kita yakin sekiranya pelajar diberi bimbingan sempurna dan berterusan, akan lebih ramai lagi pelajar sekolah di Malaysia berupaya menghasilkan inovasi dalam pelbagai disiplin kajian yang bukan sahaja menyemarakkan dunia reka cipta dan inovasi, malah turut mampu bersaing dengan pelajar di peringkat global,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Sumur dan majlis Penyampaian Anugerah Kepada Pasukan Inovasi SMAASZA di sekolah berkenaan, semalam.

Sementara itu, Pengetua SMAASZA, Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad berkata, beliau gembira kerana kejayaan empat pelajarnya dibimbing guru berpengalaman, Saripah Embong mendapat pengiktirafan daripada KPM.

“SMAASZA ke hadapan dalam mendepani pendidikan global apabila berjaya melengkapi empat program peringkat antarabangsa dan membuahkan hasil.

“Kejayaan ini perlu dikongsi bersama dengan pihak pengurusan, guru, pelajar sekolah lain yang tidak berpeluang.

“Namun untuk berjaya pelajar mestilah melakukan sebaik mungkin bagi menghasilkan hasil terbaik dan diimpikan, kini SMAASZA sudah berdiri sama tinggi dengan bangsa dunia lain,” katanya.

Minggu lalu, kumpulan inovasi terdiri daripada empat pelajar iaitu Wan Ahmad Aqil Zakwan Wan Mohd Faidzal, 17, Nurul Aisyah Mustaffa, 17, Nur Anis Farzana Abdul Malik, 15 dan Che Nur Amni Che Rusdi, 15, menggegar Pusat Konvensyen Antarabangsa Bangkok selepas merangkul dua kejayaan.

Pada pertandingan itu, empat pereka muda itu bersama gurunya mempertaruhkan produk pencuci pelbagai kotoran menggunakan tumbuhan semula jadi diberi nama AVER Clean Liquid yang berfungsi menanggalkan pelbagai kotoran selain sesuai dijadikan pembersih tangan dan pencuci pinggan kerana ia tidak menghakis tangan dan kulit.

Dalam pertandingan itu sebanyak 1,000 inovasi membabitkan 28 negara menyertai pertandingan berkenaan termasuk 84 pasukan dari Malaysia bawah pengurusan Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MYRIS).

Berita berkaitan

'SMAASZA lakar sejarah'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 3:23 PM