Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Berdoa sebelum memulakan pelajaran selain menjaga hubungan dengan rakan menjadi rahsia kejayaan pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, I'zzah I'zzati Mohd Noor Izuddin selepas muncul pelajar terbaik sekolah berkenaan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumum hari ini.

Pelajar berusia 19 tahun itu yang juga kembar dengan adiknya, Muhammad Izzat yang menuntut di Politeknik Merlimau, Melaka dalam bidang Pengurusan Hotel mendapat 9 Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan juga antara pelajar terbaik Terengganu.

Anak peniaga restoran yang bercita-cita menjadi tenaga pengajar dan berhasrat menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang pengajian Islam dan Usuluddin menyatakan walaupun terpaksa belajar melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan negara masih lagi berdepan dengan wabak pandemik Covid-19, ia tidak menghalangnya untuk berjaya.

"Bersyukur sangat kepada Allah dan terima kasih tidak terhingga kepada ibu bapa, guru dan rakan yang memberi tunjuk ajar dan membantu saya sehingga mendapat keputusan tidak diduga ini selepas mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), I'zzah I'zzati Noor Izuddin, 19 (tengah)  bersama ibu, Yaitong Samae, 49 (kiri) dan bapanya, Noor Izuddin Kamaruddin, 47 selepas mendapat keputusan cemerlang dalam keputusan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ketika ditemui di kediamannya, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), I'zzah I'zzati Noor Izuddin, 19 (tengah) bersama ibu, Yaitong Samae, 49 (kiri) dan bapanya, Noor Izuddin Kamaruddin, 47 selepas mendapat keputusan cemerlang dalam keputusan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ketika ditemui di kediamannya, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI

"Tiada rahsia kejayaan tapi saya sentiasa menjaga hubungan dengan Allah, solat pada awal waktu, taat kepada ibu bapa selain mendengar kata guru dan tidak kedekut ilmu dengan rakan antara amalan sentiasa saya lakukan.

"Selain itu berdoa sebelum belajar antara amalan dilakukan kerana itu antara senjata utama orang Islam, malah sepanjang belajar melalui PdPR, saya tidak menjadikannya sebagai alasan walaupun pada mulanya sedikit sukar kerana tidak dapat bersemuka dengan guru.

"Namun akhirnya kemanisan hadir kerana sebenarnya saya mempunyai masa yang lebih untuk mengulang kaji pelajaran, jika saya tidak tahu saya bertanya rakan dan juga guru, bagi saya PdPR tidak ada masalah, kita perlu ada keyakinan diri dan positif.

"Sempena Hari Bapa, saya juga hadiahkan kejayaan ini kepada abah, Noor Izuddin Kamaruddin dan juga umi, Yaitong Samae, 49 ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.

Sementara itu Yaitong berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu seorang anak yang taat dan berdisiplin sejak kecil lagi.

"Syukur dan Alhamdulillah dengan kejayaan I'zzah, potensinya dapat dilihat sejak kecil lagi kerana minat dalam bidang pengajian Islam, lagipun dia anak yang sangat berdisiplin dan mendengar kata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 5:07 PM