KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Lunas-Karangan. FOTO ihsan bomba
KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Lunas-Karangan. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG penumpang tersepit manakala empat lagi cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Lunas-Karangan berhampiran Kilang Inokom, Kulim, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.42 pagi berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech diketuai Pegawai Bomba Mohd Firdaus Ahmad Jalal dikerahkan ke lokasi.

“Operasi membabitkan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Terdapat 26 penumpang serta dua pemandu. Hanya lima yang cedera selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk pemandu bas.

“Semua lima penumpang yang cedera berusia sekitar 40-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Mohamadul Ehsan berkata, bagaimanapun mangsa tersepit itu hanya mengalami cedera ringan dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum semua mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 12:02 PM